Anas bin Nadhr ialah salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak mengambil bahagian dalam peperangan Badar. Dia berasa kesal kerana tidak menyertai peperangan tersebut. Oleh hal yang demikian dia sentiasa menanti-nanti peluang untuk menyertai peperangan untuk menebus apa yang dianggapnya suatu kerugian bagi dirinya. Dan kesempatan yang dinanti akhirnya tiba apabila berlaku perang Uhud pada tahun yang berikutnya. Anas dengan serta merta menyertai tentera Muslimin dengan semangat jihad yang kuat menuju ke medan pertempuran. Sungguhpun bala tentera yang dihadapi mereka berkali-kali ganda banyaknya namun tentera Muslimin berusaha mengatasi pihak musuh. Tiba-tiba berlaku suatu kesilapan.
Nabi Muhammad s.a.w. telah menghantar sepasukan pemanah-pemanah yang terdiri daripada 50 orang untuk menguasai tentera berkuda pihak musuh yang mungkin menyerang tentera Muslimin dari belakang. Mereka diperintahkan supaya menetap diatas sebuah bukit dibelakang tentera Muslimin selagi mereka tidak menerima arahan daripada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyuruh mereka berundur dari situ. Tetapi mereka telah mengingkari arahan Baginda s.a.w. Apabila mereka lihat askar-askar musuh lari kerana diburu oleh Mujahid-Mujahid Islam, mereka menyangka kemenangan telah pun tercapai lantas meninggalkan tempat mereka sambil berkejar-kejaran untuk mendapatkan harta rampasan. Yang tinggal diatas bukit itu hanyalah ketua mereka dan beberapa orang yang masih taat. Apabila pemimpin tentera musyrikin melihat bukit itu telah terdedah, lalu dia mengarah pasukannya menyerbu dan membunuh tentera panah Muslimin yang masih bertahan diatasnya dan melancarkan serangan balas terhadap tentera muslimin dari belakang ketika mereka sedang asyik mengumpul harta rampasan. Dalam keadaan kelam kabut inilah Anas terpandang kepada Saad bin Maaz yang lalu di hadapannya. Dia memekik mengatakan:"Ya Saad! Kemana engkau? Demi Allah! Aku mencium bau Syurga yang datangnya dari Jabal Uhud".
Dengan berkata demikian dia pun menerkam musuh lalu menentang mereka habis-habisan sehingga dia gugur sebagai Syahid di medan peperangan. Apabila badannya yang berlumuran darah itu diperiksa terdapat 80 kesan luka.Tidak ada siapa yang dapat mengenalinya melainkan saudara perempuannya sahaja. Orang yang berjihad di jalan Allah s.w.t.. dengan penuh keikhlasan dan kejujuran akan mengecap nikmat syurga didunia ini dan di akhirat. Demikianlah cerita Anas bin Nadhr.
No comments:
Post a Comment